Saturday, 5 May 2012

PPSMI


PPSMI telah mula diperkenalkan di Tahun 1 sekolah rendah dan Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah di sekolah menengah pada tahun 2003.  Dasar PPSMI ini  adalah Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Sebelum ini dua mata pelajaran ini diajar menggunakan bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda masing-masing di sekolah SJK Cina dan SJK Tamil.

            Saya memang tidak bersetuju dengan pelaksanaan dasar ini. Tetapi, sebagai seorang guru saya terpaksa menjalankan dasar ini di sekolah. Awalnya saya tidak bersetuju kerana katanya dasar PPSMI ini dilaksanakan kerana murid-murid tidak dapat menguasai Sains dan Matematik kerana mereka lemah bahasa Inggeris. Murid-murid lemah bahasa Inggeris tetapi mengapa Sains dan Matematik menjadi galang gantinya? Sepatutnya masa  bahasa Inggeris yang perlu ditambah atau wujudkan mata pelajaran Bahasa inggeris Komunikasi. Sepatutnya kita bangga dengan kemampuan bahasa Melayu untuk bersaing di peringkat global. Mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris seolah-olah memberi gambaran bahawa bahasa Melayu tidak bolah dibawa ke mana-mana sedangkan bahasa Melayu adalah lingua franca. Seolah-olah bahasa Inggeris penentu kejayaan di masa akan datang.

            Sejak PPSMI dilaksanakan, didapati jurang pencapaian mata pelajaran Sains dan Matematik antara sekolah bandar dengan luar bandar semakin melebar. Murid-murid di bandar mungkin tidak mempunyai masalah menguasai bahasa Inggeris kerana ia juga menjadi bahasa seharian mereka. Berbeza dengan murid di luar bandar. Mereka kurang mahir dalam bahasa Inggeris. bahasa Inggeris dianggap bahasa yang sukar bagi mereka. Apabila Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, mereka secara langsung turut melabelkan dua mata pelajaran ini adalah susah dikuasai. Apabila perkataan 'susah' telah menguasai fikiran, maka minat kepada dua mata pelajaran ini menurun.

            Saya juga berpendapat, dasar ini agak drastik dilaksanakan. Guru-guru tidak sempat mempersiapkan diri. Guru-guru Sains dan matematik bukan beropsyen bahasa Inggeris. Maka tidak hairanlah sekiranya mereka tidak mempunyai kemahiran bahasa Inggeris yang baik. Walaupun mereka dihantar berkursus selama lebih kurang lima minggu (ETeMS), kursus ini tidak mampu memantapkan penguasaan bahasa Inggeris guru-guru. Sudahnya, menjadi guru-guru ini tanpa rela menjadi 'ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus'.

            Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan dan bahasa ibunda di SJK Cina dan SJK Tamil. Kanak-kanak lebih cepat belajar dalam bahasa ibunda, oleh itu kanak-kanak yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris (luar bandar) akan ketinggalan berbanding kanak-kanak yang bahasa ibundanya merupakan bahasa Inggeris. Sekiranya perkara ini berlaku pada peringkat memahami konsep, ini memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut, tidak dapat mengikuti peringkat pembelajaran seterusnya dengan baik, menjadikan mereka sentiasa keciciran berbanding rakan-rakan berbahasa Inggeris mereka. Maka untuk adil kepada semua kanak-kanak, Sains dan Matematik mesti diajar menggunakan bahasa yang mudah mereka fahami iaitu bahasa Melayu dan bahasa ibunda masing-masing.

No comments:

Post a Comment