ERTI KEMERDEKAAN
Kemerdekaan
yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal
malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah
membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit
sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu
didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses
pembangunan negara.
Menyorot
kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia
Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat
pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh
golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata
pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada
cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan
menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan
teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi
perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara.
Menjadi tanggungjawab rakyat
generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas
kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar
kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu
pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.
Rakyat perlu bersedia menghadapi
pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat
Malaysia
telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi
dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan
seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan
kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan.
Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan
dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh.
Bumi bertuah ini telah melahirkan
ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah
seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman
komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan
memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan
Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera
dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula
dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat
daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden.
Beberapa dasar negara telah
diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar
Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju.
Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas
menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik,
ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan
kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.
Menyelami erti kemerdekaan dengan
menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa
perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini
menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan
yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi
untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.
Y.T.M. TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL HAJ
(1957 – 1970)
Tunku Abdul Rahman Putra
Al-haj dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Star, Kedah. Ayahandanya Sultan
Abdul Hamid adalah memerintah Negeri Kedah pada masa itu dan mempunyai beberapa
isteri termasuk bonda Tunku bernama Menjalara. Bonda yang dicintai itu adalah
seorang keturunan Thai anak kepada Luang Novaborirak (Kleb), seorang pembesar
di salah sebuah negeri Shan Utara Thailand.
Ini bermakna
Tunku diiahirkan di istana sepertimana beberapa tokoh UMNO yang lain. Beliau
putera raja yang mempunyai adik beradik yang ramai dan kaum kerabat yang besar
jumlahnya,tetapi tidak dalam lingkungan yang akan mewarisi tahkta kerajaan
negeri. Tuhan telah menentukannya menjadi pemimpin rakyat seluruh negara
Pemerintahnya itu tidak berdasarkan warisan tetapi atas pemilihan rakyat.
Pada waktu
kecilnya belajar di salah sebuah sekolah Melayu di Alor Star sebelum belajar di
Bangkok dalam sebuah Sekolah Thai.
Kemudiannya Tunku pulang ke Kedah dan menyambung pelajaran di sekolah Melayu
pada tahun 1916, sebelum memasuki Penang
Free School.
Kemudiannya beliau dihantarkan oleh keluarganya ke seberang laut untuk menuntut
pelajaran di St. Catherine's College, Universiti
Cambridge, England.
Walaupun
rekod akademiknya tidak suatu yang boleh dibanggakan, beliau adalah orang
Melayu yang pertama dari Kedah yang lulus dari sesebuah Universiti Inggeris
pada tahun 1925 dengan mendapat ijazah B.A dalam Sastera. Beliau pulang ke
Tanah Melayu dengan ijazah tetapi abang tuanya, menghantarnya kembali ke England supaya belajar undang-undang di Inner Temple. Nampaknya kali ini
beliau tidak begitu berminat dalam pelajarannya; hasilnya Tunku gagal dalam
peperiksaan dan pulang ke Tanah Melayu pada tahun 1931.
Apabila
kembali ke tanahair Tunku bertugas dalam perkhidmatan Awam Negeri Kedah dan
antara lainnya pemegang jawatan sebagai Pegawai Daerah di Kulim dan Sungai
Patani. Di waktu perang Jepun, Tunku memainkan peranan yang penting
menyelamatkan keluarganya. Apabila ayahandanya Sultan Abdul Hamid cuba dibawa oleh British ke Pulau Pinang supaya terselamat dari serangan Jepun, Tunku
menculiknya dan membawanya ke Kulim. Di sanalah ayahandanya tinggal
bersama-sama rakyat di waktu pendudukan Jepun.
Y.A.B. TUN ABDUL RAZAK BIN DATO’ HUSSEIN
(1970 -1976)
Tun Abdul Razak Bin Datuk Hussein dilahirkan
pada 11hb. Mac, 1922 di Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Beliau dibesarkan oleh
datuknya di Kampung Jambu, Langgar, Pekan, dalam suasana kampung yang penuh
disiplin. Di Sekolah Melayu kampung inilah Abdul Razak mendapat pendidikan
awal. Beliau terpaksa berulang-alik sejauh empat batu dengan berjalan kaki dari
rumah ke sekolah. Semasa dari sekolah rendah lagi Tun Abdul Razak telah
menunjukkan kemampuan yang cemerlang dalam bidang pelajaran. Setiap tahun
beliau dapat menggondol hadiah-hadiah dalam kelas.
Sewajarnyalah
beliau dihantar ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dan kemudiannya ke Raftles
College Singapura untuk melanjutkan pelajarannya. Semasa di Maktab Melayu dan Raffles College itu, beliau aktif di dalam
persatuan dan aktiviti sukan. Kecekapannya terbukti lagi apabila beliau berjaya
menamatkan pengajian undang-undang di Lincoln's Inn, London hanya dalam tempoh lapan belas bulan.
Semasa
di London, Tun Abdul Razak tidak mensia-siakan peluang yang diberikan
kepadanya. Beliau menggunakan masa yang ada untuk mendalami bidang politik dan
memupuk konsep hidup dengan pemikiran yang luas. Aktif dalam kegiatan-kegiatan
pelajar, beliau kemudiannya menubuhkan Malayan Forum yang dipengaruhi oieh
Parti Buruh British untuk memberi kesedaran politik kepada anak-anak
Persekutuan Tanah Melayu. Beliau juga menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan
Student's Union. Beliau terpaksa kembali ke
tanahair dan memberhentikan pelajaran lanjutannya kerana kematian ayahnya pada
bulan April 1950. Sekembalinya ke tanahair, beliau berkhidmat dengan Kerajaan
Negeri Pahang sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan dan dua tahun kemudian
beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Kejayaan beliau
dalam perkhidmatan awam ini selari dengan penglibatan beliau dalam perjuangan
menuntut kemerdekaan.
Empat
bulan selepas menganggotai UMNO, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO. Ini
diikuti pula dengan perlantikannya sebagai Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan
Persekutuan pada Ihb. Februari, 1951. Dalam tahun 1951 apabila Tunku Abdul
Rahman menjadi Yang Dipertua UMNO beliau yang berumur 29 tahun dipilih sebagai
Timbalan Yang Dipertua Dari sini bermulalah satu percantuman tenaga yang
bersejarah dan begitu gigih dalam perjuangan mencapai kemerdekaan dan
seterusnya membina sebuah negara yang maju. Tun Abdul Razak juga menjawat
jawatan Pemangku Menteri Besar Pahang selama beberapa bulan pada tahun 1955.
Sebagai
orang nombor dua kepada Tunku, beliau turut membuat draf-draf untuk dimuatkan
dalam Perlembagaan Tanah Melayu dan menyertai rombongan menuntut Kemerdekaan ke
London pada
tahun 1956. Setelah Kemerdekaan dicapai waktu umur Tun 35 tahun bermulalah
perkhidmatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menjangkau lebih 13
tahun.
Dalam
tempoh ini beliau telah memegang beberapa portfolio, termasuk Kementerian
Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian
Halehwal Dalam Negeri. Sebagai Menteri Pelajaran yang pertama, beliau telah
melahirkan Penyata Razak 1956 bertujuan menyatupadukan rakyat berbagai kaum.
Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berasaskan Penyata ini adalah mendukung bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Dengan menggunakan perantaraan Bahasa
Kebangsaan dan kandungan pelajaran yang sama di semua sekolah, semangat
perpaduan dan kerjasama di kalangan murid-murid dari berbagai kaum dapat disemai.
Semangat dasar pelajaran inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang
sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga pembangunan.
Konsep
demokrasi Tun Razak berasaskan keseimbangan sosial dan ekonomi di mana semua
rakyat dapat memainkan peranan dalam kemajuan negara. Pembangunan negara sangat
besar ertinya sebab menurut beliau benteng terbesar pertahanan kedaulatan
negara bukan sahaja terletak pada pertahanan tetapi yang lebih penting ialah
pembangunan.
Gerakan
pembangunan luar bandar dipelopori oleh beliau dengan langkah pertama ialah
merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap aspek keperluan negara.
Ini dikenali sebagai "Buku Merah" yang dilengkapi dengan "Bilik
Gerakan" yang mencatitkan butir-butir rancangan setiap daerah termasuk
segala kemajuan dan kegagalan rancangan-rancangan tersebut.
Tun
telah berusaha dengan gigihnya untuk menjamin supaya pendapatan petani-petani
setimpal dengan usaha-usaha mereka. Beliau telah membentuk berbagai agensi
Kerajaan untuk mencapai matlamat ini, dan yang paling berkesan ialah Lembaga
Kemajuan Tanah Persekutuan dan Negeri-Negeri. Kemajuan yang berlipat ganda
jelas dari jumlah tanah yang dibuka, jenis-jenis tanaman yang diusahakan,
bilangan murid-murid yang disekolahkan, berbagai perusahaan dan kemudahan-kemudahan
bantuan kewangan dan teknik yang disediakan. Di waktu Tun jugalah melihat
penyertaan orang-orang Melayu dan bumiputra secara lebih pesat dalam perniagaan
khasnya dengan penubuhan agensi-agensi seperti MARA, PERNAS dan lain-lain hasil
dari cadangan-cadangan oleh Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputra yang diadakan.
Pendek
kata, segala bentuk pembangunan yang dirasakan oleh rakyat masa kini adalah
sebahagian besarnya atas daya usaha dan kemahuan tegas dari Tun Abdul Razak.
Pembentukan Malaysia pada
tahun 1963 merupakan perkembangan politik yang bersejarah di Malaysia walaupun ianya disambut
dengan tentangan hebat oleh pihak-pihak yang tertentu. Ketokohan Tun sebagai
Menteri Pertahanan mendapat ujian. Akhirnya krisis dapat diselesaikan secara damai.
Memang wajarlah Tun dikenali bukan sahaja sebagai Bapa Pembangunan tetapi juga
sebagai Bapa Perdamaian.
Y.A.B. TUN HUSSEIN BIN DATO’ ONN
(1976 – 1981)
Tun Hussein Onn dilahirkan pada
12hb. Februari, 1922 di Johor Bahru. Beliau adalah anak sulung Datuk Onn bin
Ja'afar dan Datin Halimah binti Hussein yang mempunyai lapan orang anak. Beliau
mendapat didikan awal di Singapura dan pelajaran menengahnya di English College, Johor Bahru. Selepas tamat
sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan
Setia Negeri Johor. Pada awal tahun 1941, beliau dihantar ke Akademi Tentera di
Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada
tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke 19 di India.
Apabila
perang dunia kedua meletus, beliau berkhidmat di Timur Tengah. Setelah
peperangan tamat beliau dihantar ke India
di Bahagian Perisik Tentera di Markas Tentera, New Delhi. Memandangkan kepada pengalamannya
yang luas, pihak British melantiknya menjadi jurulatih di Pusat Rekrut dan
Latihan Polis Malaysia di Rawalpindi. Ketika itu beliau berpangkat Kapten.
Beliau
pulang ke Malaya pada tahun 1945 dan bertugas
sebagai Komanden Polis Depot, Johor Bahru. Selepas enam bulan di dalam
perkhidmatan tentera di Malaya, beliau
memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di
Daerah Segamat dan kemudian sebagai Pegawai Daerah di Kuala Selangor dan
Kelang. Ketika itu British sedang mengemukakan rancangan Malayan Union dan
Datuk Onn sendiri memainkan peranan penting menentang Malayan Union dengan
menubuhkan UMNO.
Berjuang di
samping bapanya, Hussein Onn telah meletakkan jawatannya sebagai Pegawai Daerah
untuk turut serta dalam kegiatan politik UMNO. Datuk Onn telah memberikannya
tugas sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dikenali sebagai Perikatan Pemuda UMNO dan
seterusnya dalam tahun 1950 beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO
dan bertugas sepenuh masa. Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis
Undangan Negeri Johor dan Majlis Undangan Persekutuan.
Semasa
darurat beliau dilantik menjadi Pegawai Penjaga Pasukan Kawalan Kampung di
Johor. Tun Hussein keluar dari UMNO mengikut bapanya, setelah tercetus satu
krisis dalam parti pada bulan Ogos 1951. Seterusnya Datuk Onn menubuhkan Parti
Kemerdekaan Malaya, malangnya parti itu tidak mendapat sambutan. Sewaktu
bersara dari politik, beliau telah pergi ke London
untuk belajar undang-undang di Lincoln's Inn,
England dan
telah lulus sebagai seorang peguam pada tahun 1958.
Pada tahun 1968 atas desakan Tun Abdul
Razak, Hussein Onn kembali menyertai UMNO. Pada bulan Jun 1969 beliau dilantik
menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dan dalam tahun yang sama beliau
telah memenangi pilihanraya umum di kawasan Parlimen Johor Bahru Timur, dan
dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 22 September, 1970. Sebagai Menteri
Pelajaran beliau telah menghadapi beberapa isu penting yang berkaitan dengan
pelajaran, termasuk mengenai masalah keciciran di kalangan penuntut-penuntut
sekolah. Pada masa ini juga satu perjanjian antara Malaysia
dan Indonesia mengenai
sistem ejaan baru telah diadakan di Kuala
Lumpur. Pada tahun 1972, Tun Hussein telah dipilih
sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO.
Pada 13 Ogos
1973 pula, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan tempat
Tun Dr. Ismail yang telah meninggal dunia. Beliau juga menjawat jawatan Menteri
Kewangan dan Menteri Penyelarasan Perbadanan Awam. Pada 14 Januari 1976, Tun
Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 menggantikan Tun
Abdul Razak yang juga telah meninggal dunia. Berikutnya, beliau mengumumkan
satu Kabinet baru yang agak memeranjatkan, di mana peluang-peluang yang luas
diberi kepada tokoh-tokoh muda dalam UMNO untuk memegang jawatan-jawatan
penting. Beliau telah memilih Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad
sebagaiTimbalannya.
Dalam soal
luar negeri, seperti juga dengan pemimpin-pemimpin sebelumnya, Tun Hussein Onn
terus mengadakan perhubungan yang baik antara Malaysia dengan negara-negara
luar termasuklah negara- negara barat dan lain-lain anggota ASEAN. Pada akhir
tahun 1977, krisis melanda Kerajaan Kelantan, berikutan dengan penyingkiran
Datuk Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan. UMNO telah menunjukkan
jalan-jalan kepada PAS bagaimana menyelesaikan krisis itu tetapi tidak dihiraukan
oleh pucuk pimpinan PAS. Kerana krisis itu mungkin membawa kepada keadaan huru
hara, Tun Hussein Onn telah mengistiharkan darurat di negeri tersebut. Dalam
bulan Mac 1978, satu pilihanraya diadakan bagi Negeri Kelantan, yang
mengembalikan kerajaan Barisan Nasional setelah 18 tahun berada di tangan parti
pembangkang.
Dalam
pilihanraya umum yang diadakan pada tahun 1978, Barisan Nasional yang
bermanifesto "A man whom you can trust" (Tun Hussein) telah beroleh
kejayaan yang cemerlang dengan 131 kerusi daripada jumlah 154 kerusi Parlimen,
di samping menguasai semua kerajaan-kerajaan Negeri. Dalam pergerakan UMNO, Tun
Hussein Onn berusaha sedaya upaya bagi mengekalkan perpaduan di kalangan
ahli-ahli dan pemimpin- pemimpin supaya parti dapat menghadapi cabaran-cabaran
yang timbul. Selaku seorang yang tegas pendiriannya, telah mengambil beberapa
tindakan bagi menghapuskan perbuatan rasuah dalam Kerajaan ataupun parti. Di
samping itu beliau telah menerima desakan dari ahli-ahli supaya menghapuskan
elemen-elemen yang disyaki terlibat dalam kegiatan-kegiatan pro-Komunis.
Y.A.B. TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
(1981 – 2003)
Datuk Seri Dr. Mahathir bin
Mohamad dilahirkan pada 20hb. Disember, 1925 bersamaan 4 Jamadilakhir 1344, di
No. 18, Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Star, Kedah. Ayahnya, Mohamad
bin Iskandar adalah guru bahasa bahasa Inggeris, dikenali dengan panggilan
"Master", juga adalah Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor
Star, sekarang dikenali sebagai Maktab Sultan Abdul Hamid. Antara murid-murid
ayahnya termasuklah Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang
pertama.
Dr. Mahathir adalah anak bongsu dari
sembilan adik beradik (lima lelaki dan tiga
perempuan) Ibunya, Wan Tempawan binti Wan Hanafi mempunyai kaitan keturunan
dengan Wan Mat Saman, iaitu bekas Menteri Besar Kedah yang berusaha
membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama
'Terusan Wan Mohamad Saman' (Wan
Mohamad Saman
Canal atau Sungai Korok).
Dr. Mahathir
mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan kemudiannya di
Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star di mana beliau tamat pelajaran menengah di
peringkat Senior Cambridge. Pada tahun 1948, beliau melanjutkan pengajian dalam
bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya,
Singapura dan lulus dengan Ijazah MBBS pada tahun 1953.
Setelah
lulus, Dr. Mahathir bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, beliau dilantik menjadi pegawai
perubatan dan pernah bertugas di Hospital Besar Alor Star, Pulau Langkawi dan
Perlis. Pada tahun 1957, beliau meninggalkan perkhidmatan perubatan dan membuka
kliniknya sendiri yang dikenali sebagai MAHA Klinik, mula-mula di Jalan Tunku
Ibrahim dan kemudian berpindah ke Pekan Melayu, Alor Star. Ini merupakan klinik
anak Melayu yang pertama di Alor Star.
Penglibatannya
dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila beliau bergerak cergas dalam
beberapa kesatuan, antaranya Saberkas, Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dan
akhirnya dalam UMNO. Sewaktu di Universiti Malaya,
Singapura beliau bersama dengan beberapa orang pelajar Melayu yang sedar telah
mengemukakan satu memorandum menentang cadangan undang-undang kerakyatan yang
dibuat oleh Jawatankuasa Perhubungan Kaum mengikut arahan British.
Dr. Mahathir
buat pertama kalinya bertanding dalam pilihanraya umum sebagai calon Perikatan
bagi Kawasan Parlimen Kota Star Selatan pada tahun 1964. Dengan kemenangannya
dalam pilihanraya itu, beliau menjadi seorang 'back bencher' yang aktif dalam
mengemukakan berbagai pendapat dan syor untuk pertimbangan Kerajaan. Bagi
menghadapi propaganda Regim Sukarno terhadap Malaysia,
beliau telah mengetuai rombongan Malaysia ke Persidangan Afro-Asian
Peoples Solidarity Organisation di Ghana dan juga ke Persidangan World Assembly
of Youth di Amherst, Amerika Syarikat. Pada masa itu sudah ternampak
kecenderungannya terhadap satu dasar luar yang lebih bebas dan imaginatif
supaya dapat menjamin keselamatan Malaysia serta penerimaannya oleh
negara-negara lain.
Dalam
pilihanraya umum 1969 yang mencetuskan rusuhan kaum itu, Dr. Mahathir tewas di
tangan calon PAS. Beliau seterusnya dipecat dari UMNO kerana perselisihan
pendapat dengan pucuk pimpinan UMNO. Pada masa ini beliau telah menghasilkan bukunya
The Malay Dilemma bagi menerangkan masalah orang-orang Melayu dalam konteks
perpaduan negara. Beliau diterima semula menyertai UMNO pada 7hb. Mac 1972 dan
dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 1973. Dalam pilihanraya 1974,
beliau bertanding di Kawasan Parlimen Kubang Pasu atas tiket Barisan Nasional
dan menang tanpa bertanding. Berikutan dengan kemenangan itu, dilantik menjadi
Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak. Perlantikan ini mengiktiraf minat Dr.
Mahathir yang mendalam dalam bidang pengetahuan dan pendidikan. Pada tahun 1966
lagi beliau telah dilantik sebagai Pengerusi yang pertama Majlis Pelancaran
Tinggi yang baru ditubuh.
Pada tahun
1972 beliau menjadi Ahli Majlis Penasihatan Pelajaran Tinggi dan juga pernah
menjadi Ahli Universiti Court,
Universiti Malaya. Sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah membuat banyak
perubahan-perubahan ke arah memesatkan lagi perkembangan pelajaran termasuk
menambah bilangan pelajar-pelajar Melayu di pusat-pusat pengajian tinggi. Dr.
Mahathir pada kemudian hari berusaha menubuhkan Universiti ke 6, dikenali
dengan Universiti Utara Malaysia.
Dengan
kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdul Razak pada awal tahun 1976, Tun
Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru telah melantik Dr.
Mahathir sebagai timbalan Perdana Menteri. Ketika dilantik ke jawatan itu, Dr.
Mahathir merupakan salah seorang Naib Presiden UMNO. Beliau mengekalkan
jawatannya sebagai Menteri Pelajaran. Dalam rombakan Kabinet pada 1hb. Januari,
1978, beliau berubah "portfolio" dari Kementerian Pelajaran kepada
Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.
Dalam
Perhimpunan Agung UMNO 1978, Dr. Mahathir memenangi jawatan Timbalan Presiden
UMNO tanpa bertanding dan dalam Perhimpunan Agung UMNO Jun 1981 menjadi
Presiden, juga tanpa bertanding. Berikutan dengan keputusan Tun Hussein Onn
meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir secara
otomatis menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat.
Y.A.B. TUN ABDULLAH BIN HJ AHMAD BADAWI
(2003 – APRIL 2009)
Tun Abdullah Ahmad Badawi
dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-lima pada 31
Oktober 2003.
Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan
pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau
menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist
Boys School,
Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam
bidang Pengajian Islam pada tahun 1964.
Tun Abdullah menyertai UMNO pada
tahun 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih
menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan beliau berjaya
mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga kini. Beliau adalah ahli Majlis
Tertinggi UMNO semenjak 1981. Tun Abdullah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO
pada tahun 1984 hingga 1990, dan dipilih semula memegang jawatan berkenaan pada
tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Tun Abdullah dilantik sebagai
Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003. Beliau dilantik sebagai Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada tahun 1999.
Tun Abdullah
pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam beberapa kementerian. Beliau
dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan
(1978-80), Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86) dan Menteri
Pertahanan (1986-87) . Pada 15 Mac 1991, beliau dilantik sebagai Menteri Luar
sehingga Februari 1999 dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Dalam Negeri pada Februari 1999.
Tun Abdullah
berkahwin dengan Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood dan mereka dikurniakan
dua cahaya mata.
Y.A.B. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN
TUN ABDUL RAZAK
(APRIL 2009 – KINI)
Perdana Menteri Malaysia, Dato’
Sri Mohd. Najib dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 3 April
2009. Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil keputusan
tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti.
Dato’ Sri Najib, anak sulung kepada
Perdana Menteri Malaysia
yang ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, dilahirkan di Kuala Lipis,
Pahang. Beliau menerima pendidikan rendah dan menengah di St. John’s Institution. Beliau kemudiannya
menyambung pelajaran peringkat menengah di Malvern Boy’s College, Worcestershire, England. Sebaik menamatkan
pendidikan peringkat menengah, Dato’ Sri Najib melanjutkan pengajian di University of Nottingham sehingga memperoleh ijazah
dalam ekonomi perindustrian pada 1974.
Sekembalinya
ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai eksekutif di syarikat petroleum Negara,
Petronas selama dua tahun. Namun pemergian bapanya pada 1976, mendorong Dato’
Sri Najib menceburi bidang politik. Beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional
(BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan ekoran kematian bapanya.
Kesedihan seluruh Negara ekoran pemergian Tun Abdul Razak dan sebagai
menghargai sumbangan Allahyarham kepada pembangunan negara menyaksikan Dato’
Sri Najib memenangi kerusi Parlimen Pekan tanpa bertanding ketika berusia 23
tahun.
Saat itulah
yang merubah corak kehidupan Dato’ Sri Najib yang mencurahkan khidmatnya dalam
politik dan kerajaan. Ekoran kemenangan tanpa bertanding sebagai Ahli Parlimen
Pekan pada 1976, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga,
Telekomunikasi dan Pos. Beliau kemudiannya dilantik Timbalan Menteri Pelajaran
dan selepas itu Timbalan Menteri Kewangan. Pada pilihan raya umum 1982, beliau
bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Pekan dan
kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Pahang sehingga tahun 1986.
Dato’ Sri
Najib dilantik Menteri kebudayaan, Belia dan Sukan ekoran kemenangannya pada
pilihan raya umum 1986 apabila beliau kembali bertanding kerusi Parlimen Pekan.
Di bawah terajunya, Malaysia
mencipta sejarah apabila buat pertama kali memperoleh pencapaian yang terbaik
di Sukan Asia Tenggara (Sukan
SEA). Beliau juga
memperkenalkan Dasar Sukan Negara yang menggariskan pembangunan sukan dan
memperkenalkan ganjaran insentif kepada atlit negara yang berjaya memenangi
pingat di Sukan Olimpik.
Pada tahun
1990, Dato’ Sri Najib dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri
ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Beliau memacu Kementerian
Pertahanan dengan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia melalui peningkatan
keupayaan, pemerolehan dan latihan strategik. Usaha pemodenan yang
diperkenalkannya menyaksikan Malaysia memperoleh aset-aset baru seperti pesawat
buatan Rusia, MiG 29, Boeing F18 Super Hornet, kapal frigate F-2000, artileri
senjata 155m dan menaik taraf sistem pertahan udara negara dengan perolehan
sistem radar baru. Soal kebajikan anggota Angkatan Tentera juga diberi
perhatian oleh beliau termasuk meningkatkan kemudahan perumahan dan elaun
anggota.
Pada tahun
1995, Dato’ Sri Najib dilantik menerajui kementerian yang lebih mencabar, iaitu
sebagai Menteri Pelajaran. Di bawah terajunya, sistem pendidikan negara
mengalami perubahan yang besar termasuk memperkenalkan Akta pelajaran 1996.
Perubahan
demi perubahan yang diperkenalkannya menyaksikan sistem pelajaran negara
terutama institusi pengajian tinggi mengalami perubahan besar apabila mereka
dibenar menawarkan kursus yang lebih banyak, kepelbagaian pilihan dan
pendekatan baru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Kini rakyat Malaysia
mempunyai banyak pilihan dan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat
lebih tinggi. Dalam pada itu, jumlah penuntut dari negara luar negara yang
melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tempatan dan asing di negara ini
juga semakin bertambah.
Malah, Dato’
Sri Najib memainkan peranan yang besar untuk memperkenalkan sistem pendidikan
bertaraf dunia di Malaysia
dan meletakkan negara sebagai hab pembelajaran serantau dan pusat
kecemerlangan. Di sebalik itu, perhatian lebih diberikan untuk melahirkan
guru-guru terlatih menerusi meningkatkan sijil perguruan kepada status diploma,
supaya guru-guru dalam kategori tersebut dapat menerima gaji permulaan bulanan
yang lebih tinggi dan projek perumahan khas untuk guru-guru.
Pada pilihan
raya umum 1999, Dato’ Sri Najib menerima keputusan mengejutkan apabila hanya
memperoleh majoriti 241 undi di kawasan Parlimen Pekan yang majoriti
pengundinya berketurunan Melayu, berbanding majoriti lebih 10,000 undi pada
pilihan raya sebelumnya. Keputusan itu mengejutkan beliau dan para pemerhati
politik. Bagaimanapun ia tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang amat
mengejutkan memandangkan pilihan raya itu diadakan ketika suasana politik yang
tidak menentu.
Selepas
pilihan raya umum itu, beliau dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan untuk
kali kedua dan meneruskan usaha ke arah pemodenan Angkatan Tentera, setelah
negara melepasi krisis ekonomi pada 1997. Antara perolehan utama termasuk
pembelian pesawat termoden buatan Rusia, Sukhoi SU30 MKM, kapal selam yang
sekian lama menjadi hasrat Tentera Laut Diraja Malaysia
dan kereta kebal dari Poland.
Juga sistem pertahan udara negara, Jernas untuk kegunaan Tentera Darat. Bagi
anggota tentera, beberapa elaun dipertingkatkan termasuk elaun penerbangan
untuk juruterbang tentera udara serta kadar gaji yang lebih tinggi bagi anggota
baru.
Pilihan raya
umum 2004 yang diadakan beberapa bulan selepas Dato’ Sri Najib dilantik
Timbalan Perdana Menteri, menyaksikan beliau memenangi kerusi Parlimen Pekan
dengan peningkatan majoriti mendadak iaitu 22,922 undi. Angka itu adalah
majoriti tertinggi yang diperoleh pada pilihan raya berkenaan, sekali gus
membuktikan kemampuan beliau memenangi hati pengundi sememangnya tidak boleh
dipertikaikan.
Pada pilihan
raya umum 2008, Dato’ Sri Najib sekali lagi memenangi kerusi parlimen Pekan
dengan majoriti lebih besar iaitu 26,464 undi. Ia adalah majoriti paling besar
bagi Barisan Nasional di sebalik penurunan sokongan rakyat kepada BN pada
pilihan raya itu.
Beliau kekal
sebagai Menteri Pertahanan sehingga September 2008 apabila mengambil alih
jawatan Menteri Kewangan daripada Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi. Pada Mac
2009, Dato’ Sri Najib memenangi jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding selepas
Dato’ Seri Abdullah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan itu.
Seterusnya pada April, Dato’ Seri Abdullah mengumumkan melepaskan jawatan
Perdana menteri dan digantikan Dato’ Sri Najib yang kemudiannya mengangkat
sumpah jawatan itu. Pada masa yang sama beliau masih memegang jawatan Menteri
Kewangan.
Dato’ Sri
Najib berkahwin dengan Datin Sri Rosmah Mansor dan dikurniakan lima cahaya mata.